384 korban gempa, tsunami Palu
Written By Assistant Editor on Sunday, 30 September 2018 | September 30, 2018
JAKARTA - Banyak mayat ditemui semalam di sepanjang pesisiran pantai di bandar Palu di Pulau Sulawesi yang dilanda gempa bumi dan tsunami besar, manakala angka kematian meningkat kepada 384 orang dan beratus-ratus orang lagi belum dapat dikira, kata pihak berkuasa.
Gempa susulan juga berterusan menggegarkan bandar pesisir pantai tersebut pagi semalam selepas ombak setinggi 6 meter menyapu bandar pelancongan yang indah itu, yang dicetuskan oleh gempa bumi di daratan berskala 7.5 magnitud.
“Banyak mayat ditemui di sepanjang pesisiran pantai kerana tsunami, tetapi jumlah sebenar masih belum diketahui,” kata jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB), Sutopo Purwo Nugroho dalam taklimat berita di Jakarta.
Beliau berkata, tsunami melanda pantai berkenaan pada kelajuan 800 kilometer sejam.
“Beratus-ratus orang bersiap-sedia untuk meraikan festival pantai untuk menyambut ulang tahun Palu yang tidak dapat diketahui jumlah sebenar,” katanya. Perayaan tersebut bermula pada malam Jumaat.
Gambar-gambar yang disahkan oleh pihak berkuasa menunjukkan mayat-mayat yang disusun di sepanjang jalan, ada yang dimasukkan ke dalam beg, manakala sebahagiannya pula ditutup wajah mereka dengan pakaian.
Rakaman amatur yang ditayangkan oleh stesen televisyen tempatan menunjukkan air deras menghempas rumah-rumah di sepanjang pantai Palu, menyelerakkan kontena perkapalan dan mengakibatkan banjir melimpah masuk ke dalam masjid di bandar.
Nugroho menyifatkan kerosakan itu sebagai amat besar dengan beribu-ribu rumah, hospital, pusat beli-belah dan hotel runtuh, jambatan hanyut dan lebuh raya utama ke Palu terputus akibat tanah runtuh.
Mayat beberapa mangsa ditemui terperangkap di bawah runtuhan bangunan, katanya, sambil menambah bahawa lebih 540 orang cedera.
Beratus-ratus mangsa yang tercedera sedang dirawat di khemah-khemah perubatan sementara yang dibina di luar, demikian ditunjukkan menerusi imej televisyen.
Agensi Meteorologi dan Geofizik Indonesia (BMKG) mengeluarkan amaran tsunami selepas kejadian gempa itu, tetapi menariknya semula 34 minit kemudian.
Agensi tersebut telah dikritik secara meluas kerana tidak memaklumkan tsunami telah melanda Palu semalam.
Gempa bumi dan tsunami yang berlaku telah menyebabkan gangguan bekalan kuasa utama yang menyekat komunikasi di sekitar Palu dan pihak berkuasa masih mengalami kesulitan menyelaraskan usaha menyelamat semalam.
BNPB juga masih belum mendapat sebarang maklumat dari pekan nelayan Donggala yang terletak lebih dekat dengan pusat gempa iaitu dalam jarak 27 kilometer.
Lebih 600,000 orang penduduk tinggal di Donggala dan Palu.
Menteri Ketua Keselamatan, Wiranto memberitahu rangkaian televisyen TVOne bahawa pihak tentera telah mula menghantar pesawat kargo dari ibu kota Jakarta yang membawa bantuan kemanusiaan.
Lapangan terbang di bandar itu masih ditutup selepas landasan dan menara kawalan udara rosak akibat gempa tersebut.
Bagaimanapun pihak berkuasa berkata mereka sedang bersedia untuk membuka semula lapangan terbang itu bagi membolehkan bantuan masuk.
Palu pernah dilanda tsunami pada tahun 1927 dan 1968, menurut BNPB. Sementara gempa di Lombok pada Julai lalu menyebabkan lebih 550 orang terbunuh. – Reuters
NADIREFORMASI
http://nadireformasi.blogspot.com/
Labels:
Fokus,
Luar Negara
Komen Terkini
Get this Recent Comments Widget
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !